Wednesday, October 31, 2012

_Bukan budaya kita_


Ceritera 25

Hari: Jumaat
Tarikh:  26 Oktober 2012

Hari ini merupakan Hari Raya Aidiladha. Sepertimana rutin yang selalu keluarga saya lakukan, kami akan berkumpul di rumah pusaka keluarga arwah datuk, berkumpul bersama-sama sanak saudara dan mengadakan majlis kenduri doa selamat. Kaum kerabat yang jauh juga, pasti akan pulang ke kampung bagi menjayakan majlis doa selamat tersebut. Semua sanak saudara cantik berbaju kurung dan bertudung bagi perempuan. Bagi lelaki pula mereka semua segak berbaju melayu, bersongkok dan bersamping bersiap sedia untuk pergi menunaikan Solat Aidiladha. Sedang saya sibuk menolong membuat persiapan kenduri di dapur, saya lihat salah seorang sepupu saya memakai pakaian yang agak tidak sopan pada hari yang mulia ini. Dia memakai pakaian yang mencolok mata kepada sesiapa sahaja yang memandang serta pakaian yang dipakainya itu seperti tidak menghormati hari mulia tersebut. Dia memakai baju t-shirt berlengan pendek yang mengikut bentuk tubuh, memakai seluar jeans yang ketat, rambut keperangan, make-up yang tebal serta pelbagai eksoseri hiasan yang tidak sesuai dan sepatutnya tidak dipakai pada Hari Raya Aidiladha. Apabila dia ditegur dan ditanya oleh Mak Long mengapa dia tidak berbaju kurung, dia menjawab,

Suri                    : Ala Mak Long, rilex la. Ni kan trend zaman sekarang. Apa kalau tak pakai baju kurung  tu, kita semua ni tak raya ke?
Mak Long          : oh, baguslah tu. Jadi nanti kalau suri nak pergi berenang pakailah baju kurung tu yer. Apa kalau tak pakai baju renang tu, suri nanti tak boleh berenang ke? Tak gitu suri? (Mak Long hanya mampu menggeleng)

Bicaraku:
Baju kurung, baju Melayu, songkok dan samping melambangkan jati diri orang Melayu. Jika bukan kita yang mempertahankannya dan memakainya, siapa lagi? Bukan kita diharamkan untuk memakai pakaian lain seperti t-shrit, seluar jeans, topi dan sebagainya. Tetapi, bagi sesetengah majlis yang ada berunsurkan keagamaan, lebih molek kiranya jika kita memakai baju kurung dan bertudung agar kelihatan lebih manis dan menghormati majlis yang dihadiri. Kita harus bijak memilih pakaian mengikut situasi yang kita hadiri. Bukan budaya kita memakai baju t-shirt, berseluar jeans, bertopi dan sebagainya dalam majlis-majlis keramaian. Jika kita terlampau obses mengikuti trend atau gaya berpakaian semasa sekalipun, kita harus bijak memilih pakaian yang wajar dipakai untuk majlis-majlis tertentu. 



                                                                       Gambar Hiasan

No comments:

Post a Comment