Wednesday, October 31, 2012

_Bukan budaya kita_


Ceritera 25

Hari: Jumaat
Tarikh:  26 Oktober 2012

Hari ini merupakan Hari Raya Aidiladha. Sepertimana rutin yang selalu keluarga saya lakukan, kami akan berkumpul di rumah pusaka keluarga arwah datuk, berkumpul bersama-sama sanak saudara dan mengadakan majlis kenduri doa selamat. Kaum kerabat yang jauh juga, pasti akan pulang ke kampung bagi menjayakan majlis doa selamat tersebut. Semua sanak saudara cantik berbaju kurung dan bertudung bagi perempuan. Bagi lelaki pula mereka semua segak berbaju melayu, bersongkok dan bersamping bersiap sedia untuk pergi menunaikan Solat Aidiladha. Sedang saya sibuk menolong membuat persiapan kenduri di dapur, saya lihat salah seorang sepupu saya memakai pakaian yang agak tidak sopan pada hari yang mulia ini. Dia memakai pakaian yang mencolok mata kepada sesiapa sahaja yang memandang serta pakaian yang dipakainya itu seperti tidak menghormati hari mulia tersebut. Dia memakai baju t-shirt berlengan pendek yang mengikut bentuk tubuh, memakai seluar jeans yang ketat, rambut keperangan, make-up yang tebal serta pelbagai eksoseri hiasan yang tidak sesuai dan sepatutnya tidak dipakai pada Hari Raya Aidiladha. Apabila dia ditegur dan ditanya oleh Mak Long mengapa dia tidak berbaju kurung, dia menjawab,

Suri                    : Ala Mak Long, rilex la. Ni kan trend zaman sekarang. Apa kalau tak pakai baju kurung  tu, kita semua ni tak raya ke?
Mak Long          : oh, baguslah tu. Jadi nanti kalau suri nak pergi berenang pakailah baju kurung tu yer. Apa kalau tak pakai baju renang tu, suri nanti tak boleh berenang ke? Tak gitu suri? (Mak Long hanya mampu menggeleng)

Bicaraku:
Baju kurung, baju Melayu, songkok dan samping melambangkan jati diri orang Melayu. Jika bukan kita yang mempertahankannya dan memakainya, siapa lagi? Bukan kita diharamkan untuk memakai pakaian lain seperti t-shrit, seluar jeans, topi dan sebagainya. Tetapi, bagi sesetengah majlis yang ada berunsurkan keagamaan, lebih molek kiranya jika kita memakai baju kurung dan bertudung agar kelihatan lebih manis dan menghormati majlis yang dihadiri. Kita harus bijak memilih pakaian mengikut situasi yang kita hadiri. Bukan budaya kita memakai baju t-shirt, berseluar jeans, bertopi dan sebagainya dalam majlis-majlis keramaian. Jika kita terlampau obses mengikuti trend atau gaya berpakaian semasa sekalipun, kita harus bijak memilih pakaian yang wajar dipakai untuk majlis-majlis tertentu. 



                                                                       Gambar Hiasan

_Saya minta maaf_


Ceritera 24

Hari: Isnin
Tarikh:  22 Oktober 2012

Semasa saya sibuk berbelanja di kedai serbaneka metrosaver di Taman U, saya telah dilanggar oleh seseorang dari belakang. Dia juga sedang sibuk berbelanja di kedai tersebut. Barang yang saya bawa telah jatuh ke lantai. Lantas, pelajar tersebut:

Pelajar A           : Alamak, awak, saya minta maaf. Saya tidak mengaja tadi terlanggar awak. Saya mahu cari sos cili. Tapi tidak jumpa. Saya tidak perasan awak ada di hadapan saya. Saya minta maaf. (sambil menolong saya mengutip barang di lantai)
Saya                  : Eh, tidak mengapa la awak. Saya maafkan. (bersama mengutip barang di lantai dan berlalu pergi)

Bicaraku:
Ucapan maaf merupakan satu ungkapan azimat yang sukar digambarkan. Bukanlah satu kesukaran untuk kita melafazkan kata maaf jika kita telah melakukan kesalahan. Ucapan maaf mampu meranapkan rasa marah dalam hati seseorang dan kebiasaannya huluran kemaafan pasti bersambut dengan baik. Ada yang beranggapan,  meminta maaf mampu mencalarkan ego dan harga diri mereka. Sebenarnya, fakta yang kita dengar itu adalah salah sama sekali. Sebenarnya, dengan selalu meminta maaf inilah diri kira akan selalu di senangi, disayangi dan dihormati oleh orang lain dan mungkin juga akan selalu diingati disebabkan peribadi kita yang suka meminta maaf dan memiliki nilai berbudi bahasa yang tinggi. 



_Bahasa SMS_


Ceritera 23

Hari: Rabu
Tarikh:  23 Oktober 2012
  
Facebook dan twitter merupakan alat penghubung yang paling popular darsawarsa kini. Namun begitu, penggunaan laman ini juga menyebabkan berlakunya kerosakkan dalam bahasa Melayu. Facebook dan twitter tidak mengehadkan jumlah perkataan yang digunakan sewaktu kita menggunakannya. Walau bagaimanapun, telah menjadi tabiat masyarakat melayu masa kini, terutamanya golongan remaja menggunakan singkatan perkataan sewaktu berhubung dengan rakan-rakan mereka.

Antara contoh tulisan pesanan ringkas.

Auni                  : ko nk g xkls sosiolx nie. Aq mls gler nk p kls weh. Yok ar.kte pnteng kls. Kte p mam kfc nk?
Aina                  : pe? Ko nk pontg kls? La...npe xckp awai2. Aq dh gsk bj nie nk p kls. Nk uat pe p kfc. Kelmarin kn dh p. Kte p mam pizza la plak. K?
Auni                  : k2. Xde hal. ko blanje aq k. Tapau uat blek umah skali. Kank dowg nk gak.
Aina                  : k2.

Kepada mereka yang tidak biasa dengan penggunaan singkatan seperti ini akan mengambil masa untuk memahami dan mungkin juga langsung tidak faham apa yang dicakapkan oleh pelajar berkenaan. Jika dilihat pada ayat yang ditulis itu, semuanya menggunakan penggunaan kata singkatan. Di sini, saya akan menterjemahkan semula peebualan dua orang pelajar tersebut.

Auni                     : Kau mahu pergi ke tidak kelas sosiolinguistik ini? Aku malas gila mahu pergi kelas. Jom la. Kita ponteng kelas. Kita pergi makan kfc mahu?
Aina                     :  Apa? Kau mahu ponteng kelas? La...kenapa tidak cakap awal-awal. Aku sudah gosok baju ini mahu pergi kelas. Mahu buat apa pergi kfc. Kelmarinkan sudah pergi. Kita pergi makan pizza la pulak. Ok?
Auni                     : ok-ok. Tidak ada hal. kau belanja aku. Bekal buat balik rumah sekali. Nanti mereka mahu juga.
Aina                      : ok-ok.

Bicaraku:
Adakah singkatan ini memberi makna kepada bahasa Melayu? Masalah seperti inilah yang sedang berlaku dalam bahasa Melayu pada masa kini. Saya dapat rasakan sekiranya, masalah kemungkinan martabat bahasa Melayu boleh terjejas. Orang-orang luar yang ingin mempelajari bahasa Melayu juga boleh hilang minat kerana meraka sudah pasti tidak memahami bahasa yang disampaikan itu. Menerusi pemerhatian, saya lihat bahasa Inggeris tidak mengalami singkatan perkataan yang amat ketara jika mahu dibandingkan dengan bahasa Melayu sendiri. Sekiranya masalah ini tidak dibendung, tidak mustahil bahasa Melayu ini akan pupus dan tidak diminati untuk dipelajari.



                             Bahasa singkatan yang semakin popular pada masa kini,

_Mak cik, boleh saya bantu? _


Ceritera 22

Hari: Selasa
Tarikh:  23 Oktober 2012

Hari ini saya telah pergi ke Pejabat Pos untuk menguruskan sedikit urusan peribadi. Sebagaimana prosedur yang telah ditetapkan , setiap pelanggan di minta mengambil angka giliran. Selang beberapa ketika menunggu giliran, saya lihat ada seorang wanita dalam lingkungan 50-an tiba di satu sudut yang menempatkan meja mengambil borang dan mengambil nombor. Namun setelah beberapa ketika saya lihat wanita berkenaan masih lagi berdiri di situ tidak berbuat apa-apa dan hanya memandang pelanggan-pelanggan lain mengambil nombor giliran untuk berurusan di kaunter. Menerusi riak wajah dan bahasa badan yang ditunjukkan oleh wanita itu, saya berpendapat wanita itu tidak tahu mengisi borang atau mengambil angka giliran. Melihat peristiwa tersebut hati saya terdetik, dalam ramai-ramai pelanggan yang ada di situ, mengapa tidak ada seorang pun pelanggan yang baik hati ingin menghulurkan pertolongan menolong wanita berkenaan yang kelihatan termangu di meja itu? Masing-masing hanya melihat dari jauh dan berdiam diri tidak membantu. Tanpa berlengah lagi, saya terus bangun dari tempat duduk dan membantu wanita berkenaan menyelesaikan urusannya.
Saya                : Salam mak cik, boleh saya bantu?
Mak cik           : Waalaikumsalam. Nak, mak cik nak bayar cukai pintu. Tapi mak cik tak tahu.
Saya                : oh, tak apa mak cik. Ni angka giliran mak cik. Bila nombor ini di panggil, mak cik silalah ke kaunter untuk membuat pembayaran.
Mak cik           : Terima kasih nak. Mak cik tak tahu.

Bicaraku:
Kadang-kala perlakuan manusia itu sukar untuk kita fahami. Dalam ceritera wanita itu tadi ada beberapa perkara yang dapat saya kesan antaranya sikap masyarakat yang tidak mengambil cakna akan kesusahan orang lain dan masing-masing hanya mementingkan diri sendiri sahaja. Sikap sedemian harus diubah sama sekali dan sepatutnya tidak perlu wujud dalam kamus kehidupan kita. Sekiranya masyarakat terus bersikap sedemikian, maka tidak hairanlah jika negara yang kita cintai ini suatu hari nanti menjadi sebuah negara yang tidak harmoni dan tidak sejahtera. Selain itu, wanita itu juga tidak mahir dalam aspek berkomunikasi. Contohnya, bagaimana mahu memulakan pertanyaan dan sebagainya. Mungkin juga wanita tersebut memiliki sifat malu dan rendah diri. Sepatutnya wanita berkenaan haruslah bertanya sama ada kepada pelanggan yang lalu-lalang di situ atau bertanya di kaunter pertanyaan bank berkenaan. Hal ini telah menggambarkan betapa kemahiran berkomunikasi dan tingkah laku itu sangat berkait rapat dan penting dalam kehidupan seharian. 




                         Usia bukanlah satu penghalang untuk kita membantu orang lain

_Apa Celop_


Ceritera 21

Hari: Isnin
Tarikh:  22 Oktober 2012

Pengaruh drama bersiri ‘Apa Celop’ amat memberi kesan kepada rakan-rakan saya. Setiap hari pasti ada sahaja perbualan yang akan diselitkan dengan dialog yang terdapat dalam drama bersiri tersebut. Antara dialog popular yang sering disebut oleh rakan-rakan saya ialah “luu apa celop toqq,” sewaktu berbual. Pada mulanya, saya tidak memahami langsung dialog apa yang dituturkan oleh rakan-rakan saya kerana saya belum lagi menonton drama bersiri tersebut. Secara jujurnya saya akui, saya kurang meminati cerita melayu yang berkisarkan genre komedi melayu atau kita sering kenali sebagai cerita ‘lawak bodoh’. Saya berpendapat bahasa, lawak yang disampaikan oleh pelakon tersebut hanyalah satu lawak yang memperbodohkan diri sendiri. Tidak memberikan sebarang nilai dan lebih buruk lagi cerita sedemikian mampu merosakkan bahasa Melayu. Oleh sebab, rakan saya mempromosikan bersunguh-sungguh kepada saya dan mengatakan cerita ini seronok di tonton, mampu menghilangkan tekanan ketika belajar, saya pun meminta cerita itu daripadanya. Setelah saya selesai menonton cerita tersebut, saya dapati drama ini memiliki unsur-unsurnya yang tersendiri yang mampu mempengaruhi dan merosakkan bahasa seseorang.

Bicaraku:
Generasi kini terutama golongan remaja mudah terpengaruh dan tertarik terhadap sesuatu yang menarik hati dan minat mereka. Drama bersiri ‘Apa Celop’ merupakan contoh yang terdekat yang boleh dijadikan contoh untuk menunjukkan pengaruhnya yang mampu mempengaruhi  golongan remaja. Penggunaan bahasanya yang mudah dan kelakar seperti yang terdapat dalam cerita ini menyebabkan para penonton menyukainya dan mengaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka. Secara keseluruhannya, medium komunikasi terutamanya media elektronik seperti television dan radio memainkan pengaruh yang besar dalam kehidupan masyarakat terutama pengaruh bahasa dan kelakuan.