Friday, October 12, 2012

_Papan Tanda_

Ceritera 15

Hari: Sabtu
Tarikh:  13 Oktober 2012

Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan tempat-tempat pelancongan semula jadi yang indah serta pesona mata memandang. Kekayaan hasil ini telah menarik minat pelancong dalam dan luar negara untuk melancong dan mengenali Malaysia dengan lebih dekat lagi. Pada minggu lepas, saya dan rakan-rakan telah pergi ke Pulau Pinang untuk menjalankan kajian lapangan bagi subjek kesusasteraan. Di sepanjang perjalanan menuju ke destinasi, saya meneliti panorama dan keindahan di negeri orang. Mata saya bagai di cucuk-cucuk apabila melihat banyak sungguh kesalahan bahasa yang dilakukan pada penggunaan papan tanda, tidak kira di jalan raya, di premis-premis perniagaan dan tempat-tempat awam. Kesalahan bahasa ini tidak sewajarnya berlaku. Sebagai contoh ejaan P.E.R.C.I.T.A.K.A.N. terang lagi bersuluh bahawa ejaan ini salah mengikut hukum ejaan bahasa Melayu. Tetapi mengapa papan tanda ini masih gah di pamerkan pada premis perniagaan? Sepatutnya, perkataan tersebut di eja dengan P.E.R.C.E.T.A.K.A.N. Jika fenomena ini dibiarkan dan terus berlarutan, tidak mustahil jika suatu hari nanti penggunaan ejaan bahasa Melayu yang betul ini di pandang enteng, terutama oleh bangsa asing.

Bicaraku:
Keindahan negara kita Malaysia ini tidak seharusnya dicacatkan penggunaan bahasa dan ejaan yang salah di papan tanda kedai makan, premis perniagaan dan iklan-iklan yang dipaparkan sehingga menimbulkan kekeliruan kepada kita. Situasi ini amat mempengaruhi gaya berbahasa terutamanya kepada golongan kanak-kanak. Seperti yang kita ketahui, Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan negara kita. Jika kita sendiri yang merosakkannya, siapa lagi yang boleh menghormati bahasa ibunda kita ini? Sayang sekali, perkara seperti ini sering di pandang mudah oleh masyarakat kita pada hari ini. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh. Pihak yang bertanggungjawab haruslah mengenakan tindakan yang tegas terhadap mereka yang bersalah. Tidak ketinggalan juga, kita sebagai rakyat Malaysia yang prihatin haruslah menjaga maruah bahasa ibunda kita sendiri agar tidak dicemari  dan dinodai oleh bahasa-bahasa asing. 





_kesalahan ejaaan yang semakin berleluasa_

_Zaman Mbien_

Ceritera 14

Hari: Khamis
Tarikh:  11 Oktober 2012

Perubahan trend atau gaya berpakaian menjadi isu yang sangat popular dalam kalangan masyarakat masa kini, terutamanyanya golongan remaja.  Perubahan ini tidak pernah mengenal erti siapa, apa, di mana dan bagaimana ia boleh berlaku. Perubahan atau trend berpakaian ini meliputi segenap lapisan masyarakat bermula daripada golongan kanak-kanak, remaja, dewasa dan tidak ketinggalan juga warga tua yang sangat menitikberatkan soal penampilan dan fesyen. Trend berpakaian ini tidak pernah menetapkan batas usianya. Pelbagai gaya dan trend berpakaian telah wujud di Malaysia antaranya trend agogo,warna-warni, hip-hop, punk, skinny dan zaman melenium kini pula trend berpakaian seperti kumpulan gangnam stael telah menjadi trend remaja masa kini. Apabila wujudnya fenomena  berpakaian dengan gaya yang baru, maka gaya lama sudah mula ditinggalkan dan menjadi trend zaman mbien.
Contoh situasi:

Situasi 1:
Majlis perjumpaan semula bagi semua pelajar-pelajar tingkatan enam akan diadakan di pusat membeli-belah Angsana pada hujung minggu ini.

Ain                 :  Yoo, ‘what up my friend’  ko pe kabo, dah lama tak jumpa. Ko kat mana sekarang nie? Dah maju aku tengok kau sekarang, banyak betul berubah?
                          He he he

Aminah         :  Yoo ‘sis’ aku sihat la. Memang la dah lama ko tak jumpa aku. Aku sekarang dah kerja, tinggal pula di Seremban. Aku keje kat sana la sekarang nie. Aku macam nie jela Ain, mana ada yang berubah.

Ain:                 : tak berubah ko cakap, cuba ko tengok trend pakaian ko nie ha, tudung kuning, baju merah, seluar biru, kasut hijau, pehhhhhhhhhhhh dah macam orang ulu mane dah. Warna-warni segala bagai. Weh, Minah. Trend warna-warni nie dh lama orang tak pakai la. Trend zaman mbien mane la ko tiru nie. Ha ha ha

Bicaraku:
Menerusi contoh situasi di atas, kita dapat memahami dengan lebih mendalam lagi dengan penggunaan sebenar perkataan Zaman Mbien ini digunakan. Zaman Mbien membawa maksud zaman dahulu. Perkataan ini berasal daripada Jawa dan masih diguna pakai sehingga ke hari ini walaupun bilangan penuturnya semakin berkurangan. Hal ini disebabkan, tiada pelapis  yang ingin mempelajari bahasa Jawa ini. Mungkin sukar difahami dan dituturkan dalam kehidupan seharian menjadikan ia sebagai indikator utama bahasa ini sukar untuk dikembangkan dan semakin pupus darsawarsa kini. 




_Trend pemakaian seperti Zaman Mbien_

_Bohsia, Cedok, Cikaro, Jalang?_

Ceritera 13


Hari: Rabu
Tarikh: 10 Oktober 2012

‘Bohsia, Cedok, Cikaro,  dan Jalang?’ lain perkataan tetapi satu makna. Perkataan ini membawa maksud perempuan yang berperilaku tidak baik, dan tidak sopan. Setelah penat bersengkang mata menyiapkan pelbagai tugasan yang diberi. Saya merehatkan minda dengan menontot filem ‘Bohsia, jangan pilih jalan hitam’ arahan Syamsul Yusuf. Dalam filem tersebut, banyak penggunaan bahasa slanga yang digunakan. Ketika sedang asyik menonton:

Aishah : Woiii, mu wuat nape 2? Kelih nape?
Farah   : ni ha, aku tengah tengok cite cikaro ni.
Aishah : Cikaro? Ape kejadah tu? Binatang ke?
Farah   : Binatang? Apa yang binatang pulak? Bukanlah... cikaro tu kalo kat tempat ko panggil tine jalang. Tapi kalo aku, panggilannya macam-macam. Cikaro, cedok, bohsia macam-mcam lagilah gelaran uat diorang.
Aishah  : Oh yeke? Barulah aku tahu. Cikaro.

Bicaraku:
Mengetahui pelbagai penggunaan kosa kata baru yang luas memang amat perlu. Memahami penggunaan pelbagai istilah bagi setiap nageri memang penting. Jika tidak, kita mungkin akan di gelar seperti katak di bawah tempurung. Kepelbagaian kosa kata mampu untuk kita peroleh bukan sahaja dari buku-buku picisan atau akademik, malahan penerbitan filem juga mampu merevolusikan perkataan-perkataan baharu dalam kalangan masyarakat terutama remaja. Bohsia, cikaro, cedok dan jalang biasa digunakan di negeri-negeri seperi Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Penggunaan kata ini amat popular dalam kalangan remaja. Jika kita menjadi seorang guru suatu hari nanti, kita harus pastikan kita mesti berada setapak ke hadapan berbanding pelajar, agar kita tidak ketinggalan  dalam mengetahui arus pemodenan bahasa remaja masa kini. 

_Budi Bahasa_


Ceritera 12

Hari: Selasa
Tarikh: 9 Oktober 2012

Budi Bahasa
“Budi Bahasa Budaya Kita” slogan hanya tinggal kata. Kerana apa? Cuba kita lihat di sekeliling kita, masih ramaikah lagi mereka terutamanya anak-anak muda genersi kini yang mengamalkan dan mempraktikkan nilai berbudi bahasa ini dalam kehidupan seharian mereka? Jika ada, mungkin kita boleh hitung dengan jari, berapa ramai lagi golongan anak muda yang mempunyai nilai kesantunan dan berbudi bahasa. Mereka lebih-lebih terikut dengan gaya hidup barat yang lebih berterus terang dalam segenap hal. Jika ada dalam kalangan mereka yang lembut bicaranya akan dilabel sebagai ‘minah/mat kerek’, ‘bajet bagus’, ‘budak skema’, ‘minah/mat jambu’ dan banyak lagi gelaran yang akan mereka berikan. Saya pun berasa hairan, kenapa hal ini terjadi sedangkan kita tahu, kita hidup di bumi Malaysia, yang kaya dengan adap ketimurannya yang lemah lembut, sopan santun ketika berbicara, kaya dengan nilai budi bahasanya, tetapi kemana hilang nilai murni itu? Semua telah hilang di telan arus pemodenan zaman. Jika ditegur, itu semua ‘trend’ katanya. Contoh situasi:

Situasi 1:
Minah A berjalan di kaki lima kedai bersama rakannya sambil berbual tanpa minah A sengaja dia telah terlanggar minah B.

Minah B: Woooii!!! Ko bute ape? Ko tak nampak aku lalu kat sini, mate ko letak kat mane ha? lutot? Bute!!!
Minah A: Maafkan saya, saya tidak perasan tadi. (sambil tertunduk malu kerana di marah di khalayak ramai)

Situasi 2:
Minah C membeli buah jambu yang dijual oleh penjaja di Taman U. Ketika itu, ramai pelanggan yang beli di kedai tersebut.

Minah C: Pak cik, jambu 2 bungkus. Satu cecah serbuk asam, satu lagi cecah petis.

Mungkin disebabkan pelanggan yang ramai, penjaja itu tidak dengar dan tersilap. Penjaja tersebut telah memasukkan serbuk asam ke dalam kedua-dua bungkus jambu.

Penjaja: Nah, ini dia nak, RM4.
Minah C: Pak cik ini pekak ke ape? Saya nak lain die bagi lain. Orang tue ni, tak paham bahasa ke?
Penjaja: Maaf nak, pak cik terlupe.

 Bicaraku:
Jika dilihat kedua-dua situasi di atas, di manakah letaknya nilai budi bahasa dalam kalangan anak  muda masa kini? Mengikut ceritera di atas, memang benar minah A dan penjaja itu salah, tetapi adakah patut kita menegur atau memarahi mereka dengan cara sedemikian rupa? Di mana hilangnya nilai-nilai murni yang diterap oleh ibu bapa kita sejak kecil? Jika terlalu mengikut arus permodenan zaman sekalipun, janganlah sampai kita memperdagangkan  modal insan dan nilai-nilai ketimuran di dalam diri kita. Sikap mencerminkan peribadi. Adap ketimuran harus dijaga. Walau kemana kita pergi, jagalah ia. Budi bahasa tidak dijual beli. Walau setinggi mana kita belajar, tetapi jika tiada nilai berbudi bahasa dalam diri, tetap juga tidak dihormati dan diingati oleh masyarakat.

                                                                    Patut ke tak patut...


                                                                    Lagu Budi Bahasa 

_Padah_

Ceritera 11

Hari: Isnin
Tarikh:  8 Oktober 2012

Sudah lama rasanya saya tidak suakan tinta dalam blog ini dan pada hari ini saya ingin bercerita mengenai ‘padah di jalan raya’. Lampu isyarat??? Jika ditanya mengenai lampu isyarat pasti semua orang tahu. Tetapi, sekadar tahu sahaja tidak cukup sekiranya kita tidak mengikuti peraturannya. Ketika berada di atas jalan raya, pasti kita akan terikat dengan pelbagai jenis peraturan. Contohnnya, peraturan mematuhi lampu isyarat, memotong kenderaan, meletakkan kenderaan dan banyak lagi. Seperti sedia maklum, lampu isyarat memiliki tiga warna asas iaitu merah, kuning dan hijau. Merah tanda berhenti, kuning tanda sedia dan hijau tanda jalan. Tetapi malangnya walaupun sudah acap kali peringatan telah diberikan, ada sahaja pemandu yang tidak bertanggungjawab melanggar peraturan ini dan telah mengakibatkan berlakunya kemalangan yang boleh membawa maut. Sukarkah untuk kita mengikuti peraturan jalan raya? Saya sering tertanya-tanya, “Mengapa begitu ramai pengguna jalan raya terutamanya pengguna motorsikal yang sanggup memperjudikan nyawa dan anggota badan serta sanggup bertaruh nyawa dengan kematian semata-mata tidak menghiraukan lampu isyarat ketika melintas di persimpangan jalan?”  Pelikkan? Tetapi itulah realiti, pelik tapi benar.

Bicaraku:
Isu melanggar lampu isyarat di jalan raya bukanlah satu isu yang baharu dalam kalangan masyarakat. Tetapi yang menjadi persoalannya disini, mengapa kadar kemalangan di jalan raya terutama yang berlaku di persimpangan jalan naik semakin mendadak? Sedangkan, pihak yang bertanggungjawab telah melakukan berbagai-bagai usaha untuk menangani masalah ini. Sebenarnya, permasalahan ini tidak akan pernah selesai jika pengguna jalan raya sendiri tidak cakna dan tidak memiliki kesedaran untuk mengikuti peraturan yang telah di gariskan ketika kita berada di jalan raya. Kesedaran dalam diri pengguna jalan raya amatlah penting bagi mengurangkan kadar kemalangan dan maut di jalan raya.

                                              
                                                      _Padah melanggar lampu isyarat_