Friday, October 12, 2012

_Budi Bahasa_


Ceritera 12

Hari: Selasa
Tarikh: 9 Oktober 2012

Budi Bahasa
“Budi Bahasa Budaya Kita” slogan hanya tinggal kata. Kerana apa? Cuba kita lihat di sekeliling kita, masih ramaikah lagi mereka terutamanya anak-anak muda genersi kini yang mengamalkan dan mempraktikkan nilai berbudi bahasa ini dalam kehidupan seharian mereka? Jika ada, mungkin kita boleh hitung dengan jari, berapa ramai lagi golongan anak muda yang mempunyai nilai kesantunan dan berbudi bahasa. Mereka lebih-lebih terikut dengan gaya hidup barat yang lebih berterus terang dalam segenap hal. Jika ada dalam kalangan mereka yang lembut bicaranya akan dilabel sebagai ‘minah/mat kerek’, ‘bajet bagus’, ‘budak skema’, ‘minah/mat jambu’ dan banyak lagi gelaran yang akan mereka berikan. Saya pun berasa hairan, kenapa hal ini terjadi sedangkan kita tahu, kita hidup di bumi Malaysia, yang kaya dengan adap ketimurannya yang lemah lembut, sopan santun ketika berbicara, kaya dengan nilai budi bahasanya, tetapi kemana hilang nilai murni itu? Semua telah hilang di telan arus pemodenan zaman. Jika ditegur, itu semua ‘trend’ katanya. Contoh situasi:

Situasi 1:
Minah A berjalan di kaki lima kedai bersama rakannya sambil berbual tanpa minah A sengaja dia telah terlanggar minah B.

Minah B: Woooii!!! Ko bute ape? Ko tak nampak aku lalu kat sini, mate ko letak kat mane ha? lutot? Bute!!!
Minah A: Maafkan saya, saya tidak perasan tadi. (sambil tertunduk malu kerana di marah di khalayak ramai)

Situasi 2:
Minah C membeli buah jambu yang dijual oleh penjaja di Taman U. Ketika itu, ramai pelanggan yang beli di kedai tersebut.

Minah C: Pak cik, jambu 2 bungkus. Satu cecah serbuk asam, satu lagi cecah petis.

Mungkin disebabkan pelanggan yang ramai, penjaja itu tidak dengar dan tersilap. Penjaja tersebut telah memasukkan serbuk asam ke dalam kedua-dua bungkus jambu.

Penjaja: Nah, ini dia nak, RM4.
Minah C: Pak cik ini pekak ke ape? Saya nak lain die bagi lain. Orang tue ni, tak paham bahasa ke?
Penjaja: Maaf nak, pak cik terlupe.

 Bicaraku:
Jika dilihat kedua-dua situasi di atas, di manakah letaknya nilai budi bahasa dalam kalangan anak  muda masa kini? Mengikut ceritera di atas, memang benar minah A dan penjaja itu salah, tetapi adakah patut kita menegur atau memarahi mereka dengan cara sedemikian rupa? Di mana hilangnya nilai-nilai murni yang diterap oleh ibu bapa kita sejak kecil? Jika terlalu mengikut arus permodenan zaman sekalipun, janganlah sampai kita memperdagangkan  modal insan dan nilai-nilai ketimuran di dalam diri kita. Sikap mencerminkan peribadi. Adap ketimuran harus dijaga. Walau kemana kita pergi, jagalah ia. Budi bahasa tidak dijual beli. Walau setinggi mana kita belajar, tetapi jika tiada nilai berbudi bahasa dalam diri, tetap juga tidak dihormati dan diingati oleh masyarakat.

                                                                    Patut ke tak patut...


                                                                    Lagu Budi Bahasa 

No comments:

Post a Comment