Saturday, October 6, 2012

_Senyum, susah ke?_

Ceritera 9

Hari: Khamis
Tarikh: 4 Oktober 2012

Senyuman merupakan permulaan bagi mewujudkan hubungan yang positif di antara penjawat awam dan pelanggan di dalam memberikan perkhidmatan. Dengan menghulurkan secangkir senyuman ia mampu menyampaikan mesej tersirat tanda keceriaan atau kemesraan. Amalan senyuman semasa menyampaikan perkhidmatan bertujuan unyuk memastikan setiap perkhidmatan yang diberikan memberi kepuasan dan kesan positif yang mendalam kepada pelanggan. Tetapi amalan ini tidaklah gah seperti mana yang diwar-warkan oleh media. Buktinya, saya telah lihat dan pernah alaminya sendiri. Ketika saya ingin memasukkan wang simpanan di pejabat pos. Pegawai yang bertugas di kaunter dengan wajah yang tidak ceria memulakan pemberian perkhidmatan.

Pegawai          : Ha, ye dik. Nak apa ni?
Saya                : Saya nak masukkan duit dalam akaun simpanan puan.
Pegawai          : Ha, mana borangnya? Meh sini... (dengan kasar pengawai tersebut mengambil buku simpanan dari tangan saya)
Saya                : Ini dia bukunya puan.
Pegawai          : Nama sapa nak tulis dalam slip wang masuk ni? Nama saya ke? (dengan nada marah)
Saya                : maaf puan, saya tidak perasan tadi. Maaf.
Pegawai          : Hermmmmmmmmmmmmmmm (tanpa sedikit senyuman pun dipamerkan)

Bicaraku:
Inikah yang dikatakan senyuman itu amalan penjawat awam? Sejauh manakah kesahihan mesej yang dikhabarkan ini. Bukan sekali saya mengalami situasi ini, tetapi sudah banyak kali. Ceritera ini merupakan salah satu kejadian yang pernah saya alami sendiri, dan mungkin mereka di luar sana mengalami situasi yang lebih teruk lagi. Perkara  ini amat memalukan. Lebih malang lagi, “kerana nila setitik rosak susu sebelangan”. Saya memahami, mungkin pegawai tersebut letih melayan kerenah pelanggan. Tetapi tidak perlulah sampai hilangnya budi bahasa di dalam diri sebagai lambang adat ketimuran kita. Apa sahaja kerja yang dibuat di dalam dunia ini, pasti penat. Tanggungjawab yang telah di galaskan haruslah dilaksanakan dengan ikhlas. Barulah ia tidak menjadi beban dalam urusan seharian. Bersama-samalah kita menjadikan amalan senyum ini sebagai kewajipan dalam perkhidmatan dan juga amalan seharian. Bukan sahaja penjawat awam, bahkan seluruh rakyat Malaysia. Senyum salah satu petua awet muda.


No comments:

Post a Comment